Monday, November 17, 2008

SATU ketika dulu, ramai mengatakan memakai tudung itu hanyalah sunat muakad atau tidak wajib. Kalau tidak memakai tudung, hanya berdosa kecil. Kononnya sebaik saja mengambil wuduk untuk bersolat lima waktu, secara automatik dosa kita dibasuh dan terhapus.


Apabila bergaul dengan pelbagai bangsa dan agama, kita banyak mendengar dan membaca bagaimana media barat memomokkan kod pakaian wanita Islam yang dikaitkan dengan maruah dan harga diri.

Di satu sudut lain, ada wanita Islam yang bertudung dan menyangkakan mereka sudah menutup aurat, tetapi masih mengenakan seluar jeans yang ketat, kemeja T menampakkan pakaian dalam atau yang hanya layak dipakai oleh adiknya berumur 10 tahun.

Ada juga yang mengenakan tudung, tetapi memakai kain terbelah sehingga menampakkan peha, pakaian terbelah di dada, kemeja T berlengan pendek dan ada kalanya memakai skirt separas betis. Persoalannya apakah ciri pakaian menutup aurat bagi wanita Islam?

Aurat berasal daripada bahasa Arab, ‘Aurah’ yang bererti kurang. Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. (Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, halaman 579)

Walaupun ulama berkompromi mengenai had aurat yang perlu ditutup oleh wanita, namun mereka bersepakat mengatakan hukum menutup aurat bagi setiap wanita Muslim yang baligh adalah wajib. Untuk memenuhi syarat menutup aurat, pakaian seseorang wanita mestilah memenuhi syarat berikut:

# Menutupi had aurat yang sudah ditetapkan.

Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi (bukan mahram).

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah al-Nur, ayat 31)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab, ayat 59).

Ayat itu Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda mengenakan pakaian yang menutup aurat. Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman.

# Pakaian yang longgar.

Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan. Wanita yang memakai pakaian ketat walaupun menutupi seluruh tubuh masih belum memenuhi tuntutan menutup aurat seperti dikehendaki syarak.

Syarat ini berdasarkan kepada kata Dahiyyah bin Khalifah al-Kalbi yang bermaksud: “Rasulullah SAW didatangi dengan beberapa helai kain ‘qubtiyyah’ (sejenis kain yang nipis buatan Mesir), lalu Baginda berkata: “Bahagikan kain ini kepada dua, satu daripadanya dibuat baju dan bakinya berikan kepada isterimu.” Apabila aku berpaling untuk beredar Baginda berkata: “Dan suruhlah isterimu meletakkan kain lain di bawahnya (supaya tidak nampak bentuk tubuhnya).”

Menurut Ibn Rusyd, ‘qubtiyyah’ ialah pakaian yang tebal tetapi melekat pada badan kerana ianya ketat dan menampakkan bentuk tubuh pemakainya. Oleh itu, Rasulullah SAW menyuruh Dahiyyah menyuruh isterinya melapik pakaian itu dengan kain lain supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.

# Pakaian yang tidak jarang.

Syarak menetapkan pakaian wanita mestilah tidak jarang sehingga menampakkan bentuk tubuh atau warna kulitnya. Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma, pernah masuk ke rumah Rasulullah SAW dengan berpakaian tipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah SAW berpaling dan mengatakan: “Hai Asma, sesungguhnya seorang perempuan bila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini sambil ia menunjuk muka dan kedua telapak tangannya.”

Teguran Rasulullah SAW terhadap Asma jelas menunjukkan bahawa pakaian yang jarang tidak memenuhi syarat menutup aurat bagi wanita baligh.

# Bukan pakaian yang menarik perhatian (pakaian syuhrah).

Apa yang dimaksudkan pakaian untuk bermegah ialah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan sehinggakan menarik perhatian orang lain serta menimbulkan rasa bongkak pada pemakainya.

Ibn Umar meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang memakai pakaian bermegah-megah maka Allah Taala akan memakaikannya dengan pakaian yang serupa pada hari kiamat kelak kemudian ia akan dijilat api neraka.”

# Tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian orang kafir.

Pakaian yang menutup tubuh badan tidak dikira sebagai memenuhi ciri pakaian Islam jika menyerupai pakaian orang kafir. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Ibn Abbas: “Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.”

Larangan menyerupai pakaian orang bukan Islam ini atas alasan ia boleh menjatuhkan martabat Islam dan penganutnya.

# Tidak bertabarruj.

Tabarruj dalam bahasa mudah boleh diertikan sebagai bersolek. Ada juga yang mengatakan tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatkannya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Kesimpulannya tabarruj ialah memperlihatkan keelokan, kecantikannya yang sepatutnya wajib ditutup.

Larangan ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku (tabarruj) seperti orang jahiliah dulu (pertama).” (Surah al-Ahzab, ayat 33)

Ayat itu petunjuk kepada isteri Nabi SAW supaya tetap di rumah dan tidak bertabarruj seperti orang jahiliah dulu. Konsep tabarruj jika dilihat dalam kerangka lebih luas meliputi perbuatan wanita mendedahkan aurat, memakai wangian apabila keluar rumah, cara berjalan atau tingkah laku yang menarik perhatian lelaki ajnabi.

Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada. Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di Malaysia apabila ramai bertudung tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. Ia adalah fenomena pemakaian tudung kerana fesyen, ikut-ikutan, paksaan ataupun berdasarkan kejahilan dan bukannya ilmu Islam sebenar.


Friday, May 25, 2007

Perasaan malu perisai masalah gejala sosial

Perasaan malu perisai masalah gejala sosial
Oleh Endok Sempo M Tahir

KEBANYAKAN malapetaka sosial yang menimpa masyarakat hari ini seperti gejala seks rambang, hidup bersekedudukan tanpa nikah, main kayu tiga, anak luar nikah, penderaan wanita dan kanak-kanak, wabak Aids adalah kerana hilang atau kurangnya sifat malu dalam diri manusia.


Daripada Abi Mas'ud al-Badri berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya di antara ucapan kenabian pertama (Adam) yang didapati manusia (daripada generasi ke generasi) adalah, “Jika engkau tidak malu maka perbuatlah apa yang engkau inginkan.” (Hadis riwayat Bukhari)

Hadis Nabi SAW ada menyatakan bahawa: “Sesungguhnya sopan santun dan keimanan adalah saling berkaitan, jika salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga akan hilang serentak.” (Hadis riwayat Baihaqi)

Maksud hadis itu ialah jika kesopanan atau sifat malu sudah hilang, iman juga akan hilang. Betapa besarnya pengaruh antara kesopanan dan keimanan kepada diri seorang wanita itu.

Nabi SAW bersabda bermaksud: “Apabila seorang itu terbabit dengan perzinaan, dia bukan lagi beriman, apabila seseorang itu mencuri, dia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu meminum arak, dia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu menyeleweng selepas diberi amanah oleh orang lain, dia bukan lagi seorang beriman, dan apabila seseorang di antara kamu menipu, dia bukan lagi seorang beriman, oleh itu berjaga-jagalah.”

Justeru, malu seorang lelaki atau wanita itu datang daripada sifat malu kerana takut kepada Allah.

“Setiap agama mempunyai kriteria dan kriteria (agama) Islam adalah sifat malu.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Sifat malu dan memelihara kehormatan adalah perhiasan dan perisai bagi mereka yang percayakan adanya pembalasan pada hari akhirat. Perisai inilah yang menghalang mereka daripada terjerumus melakukan dosa serta noda zahir dan batin.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Apabila seseorang menyertakan keghairahan atau tarikan berahi kepada setiap perkara yang dilakukannya, ia akan menjadi keburukan, dan apabila malu disertakan dalam setiap perbuatan ia akan menjadi indah.” (Hadis riwayat al-Imam at-Tirmizi)

Allah menggantungkan kebahagiaan dan kejayaan insan kepada kemampuannya menjaga kehormatannya. Tidak ada jalan menuju kebahagiaan dan kejayaan tanpa menjaga kehormatan. Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang beriman. (Yaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya dan orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, orang yang menunaikan zakat, orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Barang siapa mencari yang di balik itu, maka mereka itulah orang yang melampaui batas.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-7)

Perbuatan zina yang keji bermula daripada pandangan mata. Oleh itu, Allah mendahulukan perintah untuk memalingkan pandangan mata sebelum perintah menjaga kemaluan kerana banyak musibah besar bermula daripada pandangan pertama.

Imam Ibnu Qayyum al Jauzi berpendapat: “Barang siapa yang mampu menjaga empat perkara ini, dia menyelamatkan agamanya. Al-Lahazhat (pandangan pertama), al-Khatharat (fikiran melintas di benak), al-Lafazhat (lidah dan ucapan), al-Khathawat (langkah nyata untuk sesuatu perbuatan).

Rasulullah SAW memerintahkan kita memelihara diri daripada perbuatan dibenci Allah. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Malu adalah cabang iman dan iman di dalam syurga dan kurang sopan itu adalah sebahagian daripada kekerasan hati, kekerasan hati adalah di dalam api neraka.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan at-Tirmizi)

Menjaga batas pergaulan lelaki dan wanita adalah cara memupuk sifat malu. Walau apapun yang kita lakukan, mesti dibenteng dengan sifat malu. Kita perlu meletakkan batas dalam minda kita diikuti dengan perbuatan yang mengukuhkan komitmen.

Sifat malu atau (haya') adalah benteng iman. Kerana kita malu kepada Allah, malu kepada manusia dan kepada diri sendiri, maka kita terhalang daripada menjatuhkan maruah dengan perlakuan maksiat. Terbuka atau tersembunyi, sifat malu itulah yang menjadi benteng daripada suasana persekitaran yang merosakkan iman.






Saturday, June 03, 2006

Jendela Hikmah : 4 cadangan atasi wanita lambat kahwin

Jendela HIkmah : 4 cadangan atasi wanita lambat kahwin

SETIAP makhluk yang Allah dijadikan hidup berpasangan-pasangan demi untuk menjamin keturunan masing-masing di muka bumi ini.

Allah menjadikan fitrah manusia suka kepada perkahwinan supaya fitrah dan naluri nafsu syahwat disalurkan mengikut landasan yang betul.

Islam menggariskan beberapa tata cara untuk memudahkan umatnya berkahwin seperti menggalakkan orang yang berkemampuan supaya segera berkahwin, meringankan mas kahwin, mengadakan kenduri kahwin yang sederhana, menghalalkan perkahwinan serta mengharamkan zina.

Malangnya, apa yang berlaku di dalam masyarakat hari ini, perkahwinan seolah-olah menjadi suatu perkara membebankan. Ini berlaku apabila pelaksanaan perkahwinan itu tidak mengikut panduan syariat.

Hantaran perkahwinan mencecah ribuan ringgit, mementingkan status dan kedudukan serta mengutamakan kecantikan berbanding agama.

Di samping itu, berlakunya pergaulan bebas sebelum berkahwin.

Akibat paling ketara daripada fenomena ini ialah bertambahnya wanita yang belum berkahwin walaupun usia semakin meningkat. Ia bukan masalah peribadi bagi mereka yang terbabit saja, malah masalah bersama masyarakat dan ummah.

Kita perlu mengkaji dan mencari langkah praktikal untuk mengatasinya.

Justeru, beberapa usaha perlu dilakukan, umpamanya:

l Mengatur perkahwinan mengikut syariat tanpa menyusahkan mana-mana pihak iaitu dengan merendahkan belanja perkahwinan sama ada wang hantaran atau mas kahwin serta elakkan perkara membazir.

Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Hai golongan pemuda, barang siapa di antara kamu telah sanggup kahwin maka kahwinlah, kerana berkahwin itu lebih menundukkan mata dan lebih memelihara faraj.” (Hadis riwayat Bukhari-Muslim)

l Mendidik generasi muda supaya mengutamakan kedudukan agama berbanding kecantikan fizikal atau status kedudukan di dalam memilih calon suami atau isteri.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Seorang wanita itu dikahwini kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, kerana agamanya. Maka pilihlah yang beragama. Kamu menempah kerugian jika tidak mengutamakan yang beragama.”

l Menganjurkan perkahwinan di antara bangsa dengan tujuan menyebarkan ajaran Islam.

l Melaksanakan poligami meskipun ia isu kontroversi sepanjang zaman, namun hukum Islam adalah jelas memberikan keizinan kepada kaum lelaki berkahwin sehingga empat isteri (surah an-Nisa, ayat 3).

Poligami yang positif adalah antara cara penyelesaian terhadap masalah wanita belum berkahwin dan ibu tunggal.

Sekiranya usaha telah dijalankan, namun seseorang wanita itu belum juga menemui jodohnya, maka anggaplah itu ujian di sisi Allah. Ini kerana sama ada berkahwin atau tidak, tugas utama wanita untuk menjadi hamba yang tunduk dan patuh kepada-Nya.

Kehidupan sebagai seorang wanita yang beriman perlu diteruskan.

Perkara berikut boleh dijadikan renungan.

l Jodoh pertemuan, rezeki dan ajal ditentukan Allah. Tiada siapa pun dibenar mencampuri urusan-Nya.

l Jodoh pertemuan juga tiada kaitan dengan rupa paras fizikal seseorang kerana pengalaman membuktikan tidak semua yang menemui jodoh itu daripada mereka yang mempunyai rupa paras menawan.

l Bukan semua masalah boleh diselesaikan hanya dengan berkahwin kerana bukan semua perkahwinan itu baik dan bukan semuanya buruk.

Perkahwinan adalah suatu ujian Allah untuk melihat siapa yang berjaya dalam ujian itu dan siapa pula yang gagal, siapa yang sanggup menjalani tanggungjawab sebagai ibu dan bapa dan siapa pula sebaliknya.

l Penuhkan masa lapang dengan kegiatan kemasyarakatan dan sosial yang membawa manfaat kepada diri, masyarakat, agama, bangsa dan negara.

l Tidak terburu-buru mendapatkan suami, bertenang dan sentiasa memanjatkan doa kepada Allah supaya menganugerahkan yang terbaik di sisi-Nya.

Dalam hal ini Hafsah binti Umar yang lewat mendapat jodoh setelah kematian suaminya sering mengucapkan doa: “Ya Allah aku berserah kepadamu di atas musibah yang menimpaku dan kurniakanlah kepadaku sesuatu yang lebih baik.” Akhirnya Rasulullah saw sendiri datang bertanya untuk mengahwininya.

l Bersuami ada baik dan buruknya. Demikian juga membujang sepanjang hayat. Hidup membujang juga kadang-kadang membahagiakan, bahkan hidup berpasangan juga ada yang mendukacitakan.

Tokoh besar Islam seperti Jalal al-Din al-Suyuti Imam al-Nawawi dan Rabiatul Adawiyah tidak memilih perkahwinan sebagai jalan untuk membahagiakan hidup mereka.

Oleh Sumilah Marto

l Penulis ialah Pensyarah Maktab Pergurauan Temenggong Ibrahim, Johor Baru dan boleh dihubungi di emel wanitajim@jim.org.my. Artikel dengan kerjasama Wanita Jemaah Islah Malaysia.

Monday, March 20, 2006

Tip pikat jiwa galak muslimat bertudung

Tip pikat jiwa galak muslimat bertudung
Oleh Endok Sempo Tahir

Sejak akhir akhir ini isu tudung menjadi hangat semula. Bertudung adalah satu kewajipan yang jelas diperintahkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah kerana ia adalah satu daripada kewajipan wanita Islam.

Antara tips yang boleh menarik hati yang ikhlas dan sejahtera:

# Lindungi daripada dikasari

Ini agak rumit tetapi perlu dilakukan. Ada beberapa organisasi Islam yang ingin melaksanakan Islam menggunakan kaedah yang disebutkan sebagai pendekatan ‘baseball bat’: dengan menggunakan kekerasan atau main kasar.

Ini amat bertentangan dengan kaedah Islam yang anjal. Apabila kita melihat wanita Islam yang tidak memakai tudung dikasari atau diberi layanan negatif kita perlu menolongnya dan berbuat baik kepadanya.

# Beritahu kepada rakan yang lain jangan prasangka atau menghukum

Aktivis Muslim perlu diberitahu supaya tidak menggunakan pendekatan “baseball bat” dan terlalu mudah menghukum wanita yang tidak bertudung. Beritahu mereka dengan bukti dari Quran dan Sunnah bahawa Islam mengajak manusia menggunakan kebijaksanaan.

Jika cara ini tidak berkesan, dapatkan ilmuwan atau mereka yang boleh dipercayai boleh memberikan nasihat, kaunseling, teman berbincang yang mendengar, boleh dipercayai dalam menyelesaikan masalah.

# Tekankan keimanan terlebih dulu

Islam diutuskan kepada Nabi (SAW) secara berperingkat dan Muslim pada hari ini juga harus melaksanakannya secara berperingkat. Sebelum seseorang memperkatakan mengenai tudung kepada seorang wanita, aspek yang paling penting yang perlu ditekankan ialah aspek asas Islam dan asas keimanan. Asas Islam perlu diperhatikan dulu seperti kepentingan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa di dan sebagainya.

# Tidak menjadi apologetik

Dalam menggunakan pendekatan bersikap baik dan berlemah lembut, jangan kita bersikap apologetik atau menyembunyikan kebenaran pengajaran Islam. Sekali lagi, kebijaksanaan adalah perlu, tetapi seorang wanita tidak boleh mengatakan tidak memakai tudung adalah diterima dari perspektif Islam. Hukum bertudung sepakat oleh jumhur ulama dan tidak boleh dipertikaikan.

# Jika mereka mula mahu bertudung, sokonglah mereka

“Sokongan yang padu amat diperlukan bagi mereka yang ingin bertudung,” kata Dr Katherine Bullock. Apabila seorang wanita menerima tanggungjawab untuk bertudung, dia selalunya memerlukan pertolongan, menyiapkan persiapan mental untuk menghadapi beberapa kemungkinan: berdepan dengan ibu bapa, diskriminasi oleh majikan, ejekan rakan dan juga pengetahuan Islam yang cetek untuk menangkis sebarang soalan soalan yang diajukan.

Pengalaman menunjukkan pada peringkat awal kita sering meluangkan masa untuk meyakinkan seseorang untuk menerima ajaran Islam. Tetapi apabila individu sudah menerimanya, kita tidak membuat ‘penerusan’’, menyepikan atau menjauhkan diri, kurang komitment untuk terus membantu mereka yang berusaha untuk menjadi saudara baru. Oleh itu langkah yang paling berat adalah selepas, bukannya sebelum. sokongan, persahabatan dan yang paling penting adalah untuk mengekalkannya.

Saturday, March 18, 2006

Cara dakwah aktivis Islam tak boleh timbul prasangka

Cara dakwah aktivis Islam tak boleh timbul prasangka
Oleh Ir Endok Sempo Tahir

SEJAK kebelakangan ini isu tudung menjadi hangat semula. Bertudung satu kewajipan yang jelas diperintahkan di dalam al-Quran dan Sunnah ke atas wanita Islam.

Ramai yang belum memahami dan mereka yang masih jahil memandang serong mengenai perintah bertudung ini dengan memberikan berbagai label terhadap orang yang mempromosikan ‘bertudung’ sebagai taliban, ekstrim, ketinggalan zaman, penindasan kepada kaum wanita Islam dan sebagainya.

Tuduhan yang melulu ini disebabkan salah fahaman mengenai isu ini. Label melabel orang lain yang tidak bersefahaman perlu dijauhi untuk keharmonian masyarakat.

Mengapa wanita Islam dikehendaki menutup kepalanya? Persoalan inilah yang sering ditanyakan orang Islam dan bukan Islam. Bagi wanita Islam ia ujian sebenar untuk menjadi seorang Muslimah sejati.

Jawapan kepada persoalan ini sangatlah mudah – wanita Islam mengenakan hijab (busana yang menutupi seluruh kepala dan tubuhnya) kerana Allah mengkehendaki berbuat demikian.

Katalah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman, supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka.

Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.

Hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh melainkan kepada suami, ibu bapa, bapa mentua, anak-anak mereka, anak-anak tiri, saudara-saudara, saudara mereka yang lelaki, anak bagi saudara yang perempuan dan perempuan Islam atau hamba mereka,

Selain itu, orang gaji dari orang-orang lelaki yang sudah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, kanak-kanak yang belum mengerti lagi mengenai aurat perempuan, janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.

Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya (Al-Quran, Surah 24:30-31)

Namun, beberapa orang perseorangan dan aktivis dari persatuan atau organisasi Islam atau badan dakwah Islam menggunakan pendekatan yang keras dan menyinggung perasaan dalam menangani permasalahan tudung. Sesetengah tindak tanduk mereka tidak boleh diterima oleh wanita Islam yang tidak memakai tudung atau memakai tudung yang tidak sempurna.

Jadi saya rasa aktivis Islam perlu menggunakan cara terbaik “bagaimana mengajak memakai tudung”. Dalam pada itu pihak kepemimpinan organisasi perlu merangka satu panduan mengenai perkara ini. Panduan ini menjadi rujukan para aktivis dalam kehidupan seharian mereka.

Apabila mereka menggunakan cara yang betul, orang akan berasa seronok dan menjadikan mereka sebagai tempat rujukan dan mengadu permasalahan komuniti sekitarnya. Dengan pendekatan yang sederhana ini memudahkan mereka menyantuni masyarakat, menunjukkan contoh teladan yang baik dan boleh diterima.

Pendekatan yang memikat jiwa yang ikhlas dan tenang amatlah diperlukan. Secara tidak langsung boleh menyedarkan mereka mengenai undang-undang dan peraturan Islam yang harus ditegakkan. Kita mestilah menggunakan kaedah memujuk dan berbaik sangka dalam mengajak orang lain dalam mengamalkan tudung.

Antara tips yang boleh menarik hati-hati yang ikhlas dan sejahtera :

# Jangan menghukum

Ini adalah kunci kepada aktivis. Kita perlulah berbaik sangka. Apabila kita mula menghukum atau mengadili mereka yang tidak bertudung, maka kita telah melakukan satu kesalahan, iaitu salah tanggap tentang seseorang.

Harus diingat bahawa kita tidak mengetahui latar belakang seseorang itu. Mungkin seseorang wanita tidak tahu mengenai kewajipan bertudung, mungkin dia hidup di dalam satu budaya yang tidak mengamalkan bertudung, mungkin dia datang dari keluarga yang melarangnya daripada memakai tudung atau keluarganya memang tidak memahami apa lagi mengamalkan tudung atau keluarganya mempunyai konflik atau memusuhi beberapa individu dalam sesuatu organisasi Islam dan berbagai kemungkinan lain.

Kekerasan dan kata-kata yang menyinggung perasaan akan menyebabkan mereka yang tidak bertudung menjauhkan diri daripada wanita yang bertudung. Yang paling kita takutkan ialah ia didekati oleh mubaligh bukan Muslim.

Jika mereka melihat keliling serta membuat perbandingan lantas mendapati aktivis Islam mempunyai pandangan negatif terhadap yang tidak bertudung, memilih kasih, hanya duduk dalam lingkungan kelompok bertudung saja, terlalu mudah menghukum dan menilai, orang biasa yang tidak bertudung akan menjauhkan diri dan tidak minat untuk mendengar dakwah kita. Terutama apabila kita ingin mengajak golongan remaja, kita seharusnya menjadi sahabat mereka terlebih dahulu.

# Jika anda seorang perempuan, bersahabat dengan mereka.

Apa yang remaja perlukan lebih segala-galanya ialah persahabatan. Kebanyakan remaja hari ini merasakan diri mereka dipinggirkan dan tidak boleh bersahabat dengan kedua ibu bapa mereka, mungkin kerana tidak boleh menerima pandangan atau bercerita dengan mereka. Ini menyebabkan mereka mencari alternatif lain iaitu dengan mencari hiburan bersama rakan mereka di luar.

Oleh itu, di sini adalah peluang keemasan untuk mendekati mereka. Aktivis wanita Islam perlulah bersikap mesra, menunjukkan kasih sayang dan mempunyai hubungan yang baik seperti kawan dengan golongan remaja, sama ada di dalam sesebuah organisasi mahupun di dalam aktiviti kemasyarakatan.

Persahabatan bukanlah sekadar di bibir mulut saja. Tidak cukup hanya sekadar mengatakan “saya suka awak, saya ambil berat terhadap awak,” . tetapi persahabatan yang sebenar dan prihatin timbul melalui kehidupan bersama seseorang, dan berada di sisi apabila diperlukan, terutama apabila remaja meghadapi konflik dan pancaroba remaja.

# Jika anda seorang lelaki, berlemah-lembut, hormati mereka.

Golongan lelaki Islam pula haruslah merendahkan pandangan dan menjaga maruah mereka dan tidak membuatkan wanita berasa tidak selesa, sama ada melalui tindak tanduk ataupun tutur kata. Jangan sekali kali memandang rendah terhadap wanita. Tidak sekali kali mengutuk atau menyindir mereka yang tidak memakai tudung.

# Ajak mereka membabitkan diri dalam aktiviti Islam.

Kita perlu merapatkan diri dan memberi sokongan moral kepada teman yang masih mencari-cari identiti.

Harapan dan dorongan kita sebenarnya memberi kekuatan dan semangat untuk menolong dia membuat keputusan.” Ini dijelaskan oleh Dr. Kathrine Bullock dalam bukunya The Politics Of The Veil, yang mula memakai tudung selepas dua minggu memeluk agama Islam.

Untuk membuka minda dan melakukan perubahan memerlukan masa, bukanlah boleh dilakukan dengan sekali gus. Ia adalah kesan dan hasil dari hubungan yang berterusan dengan para aktivis yang lain.

Ajaklah mereka menghadiri kelas kelas agama, usrah dan halaqah. Seperti yang biasa di amalkan di kampus, pejabat dan pihak masjid dan surau. Melalui pergaulan ini sedikit sebanyak membantu mereka menghadapi kemelut dan konflik dalam jiwa.

Dengan semangat ini membuatkan mereka merasa lebih selesa dan berbincang dengan dada terbuka, menguatkan ikatan persahabatan yang kukuh antara mereka.

INTI PATI
# Tidak menggunakan kekerasan dan kata-kata yang menyinggung wanita yang tidak bertudung.

# Jalin persahabatan yang baik dan mesra cara terbaik ajak remaja supaya bertudung.

# Jangan sekali-kali mengutuk atau menyindir mereka yang tidak memakai tudung.

# Beri sokongan moral kepada teman yang masih mencari-cari identiti dan menentukan pendirian sama ada hendak memakai tudung atau tidak.

# Bersambung minggu depan.

Penulis boleh dihubungi melalui emel wanitajim@jim.org.my

Keberkesanan berkomunikasi gambaran ketinggian akhlak

Jendela Hikmah: Keberkesanan berkomunikasi gambaran ketinggian akhlak
Oleh Dr Suriyakhatun Osman

“Saya tidak suka perbuatan makcik saya yang suka masuk campur dan memberitahu saya cara nak menjalani kehidupan,” kata gadis comel yang datang berjumpa saya untuk rawatan.

“Andai kata tidak ada perkara yang menghalang anda, apa yang anda nak beritahu makcik anda?” saya bertanya.

“Makcik, saya tak suka makcik dok beritahu saya apa yang saya kena buat. Bukan makcik yang nak kahwin, bukan makcik yang nak kerja. Saya yang nak kahwin, saya yang nak kerja. Apapun saya yang tanggung. Buat apa saya ikut cakap makcik, sedangkan saya tak suka kalau saya ikut cakap makcik. Jika ada perkara tak baik berlaku, saya yang menerima padahnya. Tak payahlah

makcik nak menyibuk.”

“Bagus Ina, anda telah meluahkan perasaan anda dengan komunikasi anda. Mari kita perhaluskan sedikit supaya anda boleh luahkan kepada makcik dengan cara yang baik.

“Cuba kita ubahkan sedikit supaya maknanya tidak lari tetapi lebih mudah diterima Makcik Leha nanti.

“Makcik Leha, saya amat menghargai makcik sebab terlalu prihatin dengan kebahagiaan saya dan selalu mengambil berat mengenai diri saya. Sudah tentu makcik inginkan saya hidup dengan bahagia bukan begitu? Bab jodoh dan bab kerja ini adalah perkara yang mustahak dalam kehidupan saya. Kalau saya salah buat pilihan, kehidupan saya dan kebahagiaan saya akan terjejas. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih atas pandangan makcik. Izinkan saya membuat keputusan saya sendiri sebab ia membabitkan kebahagiaan diri saya sendiri.”

Ina tersenyum sambil mengangguk, “Betul juga. Kalau cakap macam itu, saya boleh sampaikan dan dia pun tak akan rasa sangat InsyaAllah.”

Sebenarnya, cara kita bertutur boleh memberitahu pendengar banyak perkara mengenai siapa kita.

Saya pernah berjumpa lelaki berbangsa Amerika Asli (Native American) yang dibesarkan di kawasan khas ‘terlindung’ (protected zone) dikhususkan untuk rakyat Amerika Asli.

Persepsi asal saya, sudah tentu telo percakapannya mencerminkan asal usulnya sebab alam persekolahan dan kehidupan awalnya adalah dalam kawasan ‘terlindung’ itu.

Tetapi tidak, dia yang sudah dan melanjutkan pengajian pada peringkat doktor falsafah (PhD) memiliki gaya dan telo pertuturan seperti golongan intelek tetapi jelas serta merendah diri.

Apabila saya bertanya mengenai perubahan telo dan gayanya yang tidak sedikitpun mencerminkan asal usulnya, beliau menjawab bahawa dia telah berusaha untuk mengubahkan pertuturannya kepada apa yang saya dengar dan lihat pada hari itu.

Pernah saya menghadiri sebuah bengkel kerja, dalam kumpulan saya ada dua wanita sering ketawa kerana mengetawakan jenaka yang mereka ceritakan antara satu sama lain, jenaka yang bersifat lucah.

Saya dapati saya tidak dapat ketawa dengan mereka, hati saya begitu berat untuk ikut sama dan saya cuba mengelak dari berbual dan bergaul dengan mereka.

Saya terfikir bahawa saya tidak ingin untuk menghayati jiwa dan pemikiran mereka yang bagi saya tidak aman tenteram, sebaliknya bergolak dengan perasaan tidak tentu hala.

Bolehkah kita mengenali diri kita sendiri dengan pertuturan dan perbualan kita? Kebanyakan kita tidak sedar orang boleh mengenali kita melalui cara pertuturan, gaya bahasa, telo, loghat, mimik muka serta gaya badan kita sendiri.

Dalam bidang neurolingual programming (NLP), gaya badan, mimik muka disebut sebagai ‘bahasa badan’ iaitu bahasa yang tidak bohong dan memberitahu keadaan sebenarnya walaupun kita perkatakan sebaliknya.

Imam Ghazali menyarankan kita menukar tabiat buruk kepada baik dengan meniru perbuatan serta ucapan mereka yang berkelakuan baik, lama kelamaan kita juga akan memiliki tabiat baik.

Mungkin sudah menjadi tabiat kita bermuka masam dan berjalan bongkok. Ini mencerminkan keadaan jiwa yang muram.

Jika kita melatih diri tersenyum, angkat bahu dan tegakkan tulang belakang kita, lama kelamaan kita akan dapati diri bertambah ceria.

Perbualan dalam juga mempengaruhi tindak tanduk kita dan jika kita banyak berfikir hanya dari perspektif diri kita, perbualan kita akan banyak menunjukkan perspektif ini.

Orang yang selalu memikirkan tentang kepentingan diri akan banyak menyuarakan perkara dari perspektif ini dan akan menilai segala sesuatu mengikut sama ada perkara itu menguntungkan dirinya atau sebaliknya.

Jika seorang itu selalu memikirkan bahawa orang akan menyakitinya maka sikap dan pertuturannya berbentuk membela diri dan mungkin juga bersifat agresif sebab sentiasa merasakan dirinya terancam.

Setelah menyedari serba sedikit kuasa pertuturan dan bahasa badan, apa yang boleh kita lakukan untuk mencapai pertuturan yang berkesan dan boleh mempengaruhi orang demi kebaikan?

Berikut adalah beberapa saranan yang boleh menolong kita mencapai matlamat itu:

# Memahami bahasa minda melalui pengawasan pemikiran dengan cara menulis dan mencatatkan pemikiran kita. Setiap hari lebih dari 60,000 fikiran dijanakan oleh minda kita dan jika kita dicatatkan, kita akan sedar apa yang berperanan dalam fikiran kita.

# Melihat dan memahami bahasa negatif yang ada dalam minda dan mengarang ungkapan positif untuk menggantikannya. Ini dinamakan sebagai affirmasi. Tulis dan bacakan affirmasi setiap hari dan ulang seberapa kali yang boleh setiap hari supaya affirmasi ini menggantikan bahasa negatif minda kita.

# Dalam sebuah dialog yang mungkin tegang dan bersifat menegur antara satu sama lain, latih diri menutur dengan bahasa baik, mudah di faham, mencerminkan apa yang kita rasakan dengan jelas tetapi tidak melukakan.

# Cuba fahami dulu apa yang diperkatakan sebelum menjawab atau membuat andaian. Dalam banyak kes, salah faham dan perbalahan berlaku kerana tidak faham kedudukan sebenar atau banyak membuat andaian.

# Jangan tinggikan atau naikkan suara dan jika kita perhatikan bahawa kita semakin marah, minta masa untuk redakan kemarahan sebelum berkomunikasi atau bertutur.

# Letakkan diri di tempat orang yang mendengar atau dalam komunikasi bertulis cuba lihat perspektif pembaca yang disasarkan. Ini akan menolong kita menimbangkan sama ada kita telah menyampaikan atau akan menyampaikan dengan cara yang jelas dan mudah difahami.

# Minta maklum balas daripada orang yang mendengar dan jadi pendengar yang baik. Jika menjadi pendengar yang baik, kita juga akan didengar.

# Dalam menegur, berikan kata-kata perangsang dan naikkan semangat sebelum mengatakan apa yang boleh pertingkatkan serta gantikan perkataan ‘tetapi’ dengan perkataan ‘dan’.

Contohnya, “Saya suka bila Hana rajin memasak didapur. Lauknya sedap dan membuka selera dan (menggantikan tetapi) Mama sarankan lain kali Hana kemas dapur selepas masak ya.”

# Tanya soalan yang boleh membuka minda. Apabila pendengar menjawab soalan, pendengar sebenarnya akan lebih menghayati dan memahami pertuturan kita.

Terlalu banyak yang boleh diperkatakan mengenai pertuturan serta bahasa badan dan pertuturan yang baik mencerminkan watak dan akhlak kita. Oleh itu, berusahalah untuk melatih diri meningkatkan keberkesanan berkomunikasi.


Konsep hijrah pada era globalisasi utamakan kemajuan diri, negara

Jendela Hikmah: Konsep hijrah pada era globalisasi utamakan kemajuan diri, negara
Oleh Sumilah MArto

SELASA ini, umat Islam akan menyambut kedatangan 1 Muharam 1427, yang menandakan bermulanya satu lagi lembaran baru mengikut kalendar Islam.

Hijrah adalah peristiwa penting dan bersejarah bagi seluruh umat Islam. Ia bukan saja bermakna bermulanya perkiraan takwim bulan hijrah, malah merujuk kepada peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah yang mengandungi rahsia, keistimewaan dan konsepnya tersendiri.

Sejarah merakamkan peristiwa Nabi Muhammad SAW diperintahkan oleh Allah berhijrah dari Makkah ke Madinah ketika ruang perjuangan Rasulullah terlalu sempit dan terhimpit. Baginda tidak memilih untuk berdoa meminta kelapangan yang sudah tentu Allah kabulkan. Sebaliknya, terpaksa menempuh laluan sukar, berbahaya dan berisiko tinggi kerana diburu musuh untuk mencapai suatu keadaan yang lebih baik. Melalui perintah hijrah, Rasulullah SAW berusaha merancang dan bertindak.

Penghijrahan seumpama Rasulullah dan sahabat tidak berlaku lagi kepada umat Islam selepas Baginda. Namun, konsep penghijrahan tetap berterusan di kalangan umat Islam.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tiada lagi hijrah sesudah pembukaan kota Makkah, tetapi hijrah yang tetap ada adalah jihad dan niat untuk berhijrah (apabila keadaan memaksa); dan apabila dipanggil untuk berjihad (atau sebagainya) hendaklah kamu bersiap sedia.”

Merujuk kepada bahasa Arab, perkataan hijrah bermaksud bergerak meninggalkan satu tempat untuk ke tempat lain dalam usaha mencari pembaharuan yang menjurus kepada yang lebih baik.

Dalam konteks lebih luas, hijrah boleh difahami sebagai perpindahan dari suatu keadaan kurang baik kepada keadaan lebih baik, daripada keadaan negatif kepada yang lebih positif. Ia juga bererti meninggalkan kepercayaan dan amalan serta peraturan dan cara hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam sebagai agama yang diredai oleh Allah.

Diriwayatkan oleh Al-Imam Abu Daud daripada Abdullah bin Hubsyi, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.”

Sehubungan itu, persoalan yang sering berlegar di pemikiran adalah apa, di mana dan ke mana arah tuju kita, khususnya umat Islam di negara ini dalam menghayati konsep hijrah pada era globalisasi?

Jika diteliti dan dihayati, konsep hijrah pada era globalisasi mengajak umat Islam untuk memanfaatkan pelbagai aspek kemajuan masa kini bagi mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Tetapi, tanpa sifat sanggup berhijrah, mustahil kejayaan akan tercapai dan kemajuan ummah tidak akan berhasil.

Islam tidak menyuruh kita berdiam diri dan menunggu Allah memberi sesuatu kepada kita tanpa berusaha. Allah berfirman bermaksud: “Bagi setiap seorang ada malaikat penjaganya dari hadapan dan belakangnya, yang menjaganya dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.” (Surah ar-Ra’d, ayat 11)

Justeru, umat Islam hari ini mestilah berusaha mempersiapkan diri untuk melakukan hijrah menuju pada alaf baru. Dunia tidak akan menunggu suatu umat untuk sama-sama mencapai kemajuan dan kecemerlangan. Golongan mundur biasanya sengaja mewujudkan halangan untuk cemerlang dalam hidupnya.

Bagi golongan maju, mereka sentiasa bersedia berhadapan dan berusaha untuk mengatasi segala hambatan dan rintangan seperti perasaan takut gagal untuk bersaing, sikap suka bertangguh, malas, banyak dalih dan banyak angan-angan.

Oleh itu, beberapa aspek persiapan diri perlu dilakukan oleh umat Islam bagi mencapai kemajuan dan kejayaan iaitu:

Kemantapan individu Islam yang beriman.

Hijrah turut mengajak bagaimana memuhasabah dan menilai diri, hati dan jiwa serta usaha untuk memiliki sifat mahmudah (terpuji) seperti ikhlas, reda, sabar, amanah dan berperibadi mulia.

Pada masa sama menghindari sifat mazmumah (keji) seperti sombong, riak, dengki dan kikir untuk tidak diamalkan dalam kehidupan.

Selain itu, usaha mewujudkan perpaduan dan persaudaraan dalam hidup bermasyarakat, berbangsa dan bernegara perlu menjadi agenda, peranan dan tanggungjawab bersama untuk dilaksanakan dalam konteks kepentingan umat Islam sejagat.

Kepentingan dan kelebihan ilmu pengetahuan amat penting bagi membantu kejayaan dalam apa juga bidang.

Oleh itu, umat Islam digalakkan untuk sentiasa menambah ilmu sama ada yang berkaitan dengan urusan dunia mahupun kehidupan sesudah mati. Firman Allah bermaksud: “Apakah orang yang taat beribadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri, dia takutkan azab hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya, sama dengan orang musyrik? Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.” (Surah az-Zumar, ayat 9)

Ayat di atas jelas menerangkan kelebihan orang yang berpengetahuan berbanding orang yang tidak berpengetahuan dalam memainkan peranan bagi mencapai kemajuan.

Kemajuan teknologi maklumat dan kecanggihan komunikasi.

Konsep hijrah menyarankan agar segala kemudahan yang ada dapat dimanfaatkan, selain memahirkan diri dan menguasainya.

Ini akan menambah keselesaan dan kesejahteraan kehidupan, di samping membantu usaha menyebarluaskan lagi syiar Islam di merata tempat, tanpa mengira masa dan keadaan. Semua ini akan membantu mengembalikan kegemilangan, tamadun dan martabat umat Islam di arena antarabangsa.

Konsep hijrah sangat menitikberatkan kepentingan masa untuk dimanfaatkan oleh penggunanya, sebelum ia habis dan berakhir dengan kematian. Keazaman dan semangat yang tinggi untuk berhijrah.

Artikel dengan kerjasama Wanita Jamaah Islah Malaysia. Penulis ialah Pensyarah Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru, juga Ketua Wanita JIM Johor boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

Jendela Hikmah: Perkahwinan jadi benteng penyakit jangkitan seksual

Oleh Dr Danial Zainal Abidin

NABI Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Wahai Muhajirin, lima bala akan ditimpakan ke atasmu dan aku berdoa agar kamu tidak ada ketika bala ini menimpa... Satu antaranya adalah, apabila zina zahir dalam masyarakat secara terang-terangan, wabak yang dahsyat dan penyakit yang belum pernah menjangkitimu akan menyerangmu ketika itu." (Hadis riwayat Ibn Majah, al-Baihaqi dan al-Bazzar).

Pada hari ini, penyakit jangkitan seksual kerap menjangkiti individu melalui hubungan seks rambang. Kira-kira 20 jenis penyakit dari kumpulan ini dikenal pasti dan paling berbahaya adalah Aids. Di Amerika Syarikat ia menjangkiti 13 juta orang setahun dan kebanyakannya adalah wanita. Antara komplikasi yang timbul daripada penyakit ini adalah mengandung di luar rahim, barah, kemandulan, sakit jantung, infeksi dan sakit puan. Mengikut Institut Alahan dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NIAID) di Amerika, jumlah kes penyakit jangkitan seksual semakin meningkat. Hal ini kerana ramai remaja terbabit dengan hubungan seks tanpa perkahwinan, selain berleluasanya seks bebas dalam masyarakat. (Rujuk NIAID Fact Sheet, An Introduction to Sexually Transmitted Diseases, July 1999)

Zina bukan sekadar hubungan kelamin.

Islam mengutuk segala bentuk perzinaan. Perkara yang boleh membawa kepadanya dianggap buruk dan diharamkan oleh Islam. Allah berfirman bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina." (Surah al-Isra, ayat 32). Antara alat yang boleh merangsang syahwat manusia dan kemudian membawanya kepada zina adalah mata. Contohnya, melihat gambar dan menonton filem lucah adalah satu bentuk zina. Justeru, Allah berfirman: "Katakanlah kepada lelaki yang mukmin, (kawallah) penglihatan mereka dan peliharalah alat kelamin mereka!" (Surah an-Nur, ayat 30).
Berdua-duaan membawa risiko Barat bersikap liberal dalam pergaulan lelaki dan perempuan. Mereka menganggap ia cara hidup yang sepatutnya dicontohi orang lain. Namun, perangkaan menunjukkan, cara hidup sedemikian lebih banyak mendatangkan kerosakan daripada kebaikan. Contohnya, mengikut Jabatan Keadilan Amerika, bagi setiap dua minit seorang wanita mengalami gangguan seksual. Pada 1996, 307,000 wanita menjadi mangsa rogol dan serangan seksual di Amerika. Baru-baru ini kajian oleh National Women Study di Amerika menunjukkan kira-kira 683,000 wanita menjadi mangsa rogol setiap tahun di Amerika.Kebanyakan kes itu membabitkan orang yang dikenali, terutama sedang berdua-duaan dan bertemu janji. Justeru, larangan bergaul bebas dan berdua-duaan oleh Islam amat relevan dengan dunia hari ini. Larangan ini mendatangkan banyak kebaikan terutama bagi wanita.

Bahaya seks ketika haid

Islam mengharamkan seks ketika haid. Hukum ini dijelaskan melalui firman-Nya: "Mereka bertanya kepadamu mengenai haid. Katakanlah, haid adalah kotoran. Justeru, hendaklah kamu tidak menyetubuhi wanita ketika haid sehingga mereka suci daripadanya." (Surah al-Baqarah, ayat 222).Mengikut Dr Diana Antoniskis (MD) dari Kumpulan Penyelidikan dan Pendidikan yang beribu pejabat di Oregon, risiko jangkitan kuman HIV meningkat di kalangan wanita yang mengadakan hubungan seks ketika haid atau dengan lelaki yang tidak berkhatan. Persetubuhan pada waktu haid juga boleh mengakibatkan pendarahan teruk ke atas wanita.Kajian Dr Winnifield Cutler dan rakannya dari Institut Athena Bagi Kesihatan Wanita di Chester Springs menunjukkan, wanita yang hampir putus haid atau perimenopausal, yang kerap mengadakan hubungan seks ketika haid sering kali mengalami masalah pendarahan yang teruk daripada biasa. Kebiasaannya kes seperti ini akhirnya terpaksa menjalani pembedahan berisiko tinggi untuk membuang rahim atau hysterectomy dan ovari atau ovariectomy. Penemuan ini dilaporkan dalam Journal of Psychosomatic Obstetrics and Gynaecology pada 1996.

Haram homoseks dan lesbian

Nabi Muhammad bersabda: "Perkara yang paling aku takuti menimpa ke atasmu adalah perbuatan kaum Lut. Dilaknati mereka yang melakukan perbuatan seumpama kaum Lut." (Hadis riwayat Ibn Majah, at-Tirmizi dan al-Hakim). Kaum Lut dihancurkan Allah disebabkan mereka tenggelam dengan perlakuan homoseks di kota Sodom.

Islam galakkan perkahwinan Berhubung perkara ini Nabi bersabda: "Barang siapa yang mampu untuk berkahwin tetapi tidak berkahwin maka dia bukan daripada umatku." (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi). Dalam riwayat lain, Baginda bersabda: "Wahai anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu)." (Hadis riwayat Bukhari).

Ciri-ciri suami isteri

Nabi Muhammad bersabda, berhubung dengan kriteria pemilihan isteri, yang bermaksud: "Pilihlah yang mempunyai kebaikan agama, akan selamatlah kamu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Baginda juga tidak melupakan kriteria dalam pemilihan suami, berdasarkan sabda Baginda: "Jika yang datang meminang anak perempuanmu seorang yang kamu redai agama dan akhlaknya, maka terimalah dan kahwinkanlah dia dengan anakmu." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Wajib mandi selepas hubungan seks

Kebersihan diri amat dipentingkan oleh Islam. Umat Islam diwajibkan mandi selepas mengadakan hubungan seks antara suami isteri, walaupun tanpa mengeluarkan air mani. Hal ini seperti sabda Rasulullah: “Apabila kemaluan bertemu dengan kemaluan, wajiblah mandi." (Hadis riwayat at-Tirmizi). Dalam riwayat lain Nabi bersabda: "Walaupun jika tidak mengeluarkan air mani." (Hadis riwayat Muslim dan Ahmad) Jika air mani keluar tanpa hubungan seks (sebagai contoh melalui mimpi), mandi tetap diwajibkan.

Mengikut pakar perubatan dari Institut Teknologi Penjagaan Kesihatan di Washington untuk mencegah penyakit jangkitan seksual daripada merebak, hubungan seks perlulah dilakukan hanya dengan mereka yang dipercayai dan tidak dilakukan secara bebas. Menjaga kebersihan diri sebelum dan selepas mengadakan hubungan seks seperti segera membasuh anggota sulit selepas mengadakan persetubuhan juga penting. Malah, pakar dari institut ini menggalakkan seseorang mandi secara sempurna selepas mengadakan hubungan seks sebagai langkah pencegahan daripada serangan penyakit. (Rujuk The Institute for Technology in Health Care, Safer Sex: Reduce Your Risk Of Disease, After-Sex Hygiene, Washington, 2001).


No comments: